terima kasih , anda yang ke ..

Sunday, 23 December 2012

kemanisan dalam ujian :)


Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.

Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.

Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.
Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)
“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).
Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.

- Gambar Hiasan
Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.
Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.
Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).
Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.
Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.
Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.
Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.
Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.
Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.

- Gambar Hiasan
Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.
Firman Allah: (maksudnya)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).
Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).
Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.
Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).

credit to @drmaza.com

salah guna nama ijmak ,,


Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservetif agama itu sendiri.

Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah ‘tidak laku’ atau menghadapi ‘tarikh luput’ di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai.

Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas.


-Sumber Rujukan
Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan.
Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama.
Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.
Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi ‘ijmak ulamak’. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama.
Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijma’. Kesan, membawa kepada kekufuran.
Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut ‘kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama’. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya “Pendapat ulama-ulama kita la..”. Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama.
Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijma’ atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma’ yang sebenar?
Takrif bagi perkataan al-Ijma’ ini di sisi majoriti ulama ialah
“Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak”. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).
Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.
Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman.
Maksudnya, para mujtahidin tanpa pengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak.
Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.
Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr ‘Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa ‘arus perdana’ atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.

- Gambar Hiasan
Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya.
Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira.
Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid.
Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut:
“Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma’ yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian.
Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak.
Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir .
Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja.
Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily:
“Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma’ (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: “Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu” (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).
Maka jika anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham.
Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

credit to @drmaza.com

izin tidak semestinya redha kan ? :)



Saya tidak suka terlalu berfalsafah dalam bicara. Tujuan ucapan dan ungkapan adalah untuk difahami oleh pendengar atau pembaca, bukan agar mereka bertambah pening. Pun begitu ada juga beberapa istilah yang perlu diperbetulkan, bukan kerana ingin berfalsafah tetapi kerana ia penting untuk difahami untuk mengelakkan salahfaham antara kaum muslimin.

Antara perkara yang penting untuk dibezakan ialah ungkapan ‘izin’ dan ‘redha’. Kedua-dua perkataan ini berasal dari bahasa Arab. Apa yang kita izinkan bukan semestinya kita redha. Juga apa yang kita redha bukan semestinya kita izinkan. Juga mungkin apa yang kita izinkan itu kita redha, atau sebaliknya juga mungkin apa yang kita redha maka kita izinkan. Mengizinkan bermaksud membolehkan sesuatu itu berlaku (lihat: al-Kafawi, al-Kulliyyat, 72, Beirut: Muassasah al-Risalah). Sementara redha bermaksud suka atau kasih kepada sesuatu. Disebut al-Mahabbah wa al-Ridha atau cinta dan redha (ibid 76).

Kita mungkin memberikan kebenaran atau memboleh sesuatu yang di bawah penguasaan kita berlaku dalam keadaan redha ataupun tidak redha. Apa yang kita izinkan bukanlah semestinya kita redha atau suka. Umpamanya jika seseorang pemerintah muslim mengizinkan bukan muslim membina rumah ibadah mereka, bukanlah semestinya bererti pemerintah tersebut meredhai kekufuran atau penyembahan selain daripada Allah.
Demikian juga apabila pemerintah tertentu mengizinkan mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti minum arak atau berjudi dalam premis mereka, bukanlah bererti pemerintah tersebut telah menghalalkan arak atau judi. Keizinan itu diberikan disebabkan kerana hak-hak mereka sebagai bukan muslim dalam mengamalkan agama dan cara hidup mereka.
Pemerintah mengatur urusan rakyat dengan adil dan saksama. Keizinan atau kelulusan yang diberikan oleh pemerintah bukan menunjukkan akidahnya telah rosak atau dia telah menghalalkan yang haram. Melainkanlah jika perasaan dia itu memang redha atau dia sendiri melakukan perkara-perkara yang menunjukkan dia redha. Ketika itu barulah datang penilaian di sudut akidah.
 
Apa yang ingin dijelaskan bukan semestinya setiap yang diizinkan itu diredhai oleh seseorang. Saya misalkan, seorang anak yang mendesak ayahnya memberikannya kunci kereta kerana ingin keluar bersama dengan rakan-rakannya. Si ayah enggan memberi kerana bimbang anaknya tidak tahu mengawal diri apabila keluar bersama rakan.
Namun si anak terus mendesak dan bertegang dengan ayahnya sehingga menyebabkan si ayah akhirnya memberikan kunci kepada si anak. Anak ini pun keluar berjumpa dengan rakan-rakannya sambil berkata: “ayahku izinkan aku pakai keretanya malam ini”. Sementara si ayah apabila ditanya berkata: “memang saya izinkan tapi saya tidak redha, sebab dia mendesak dan saya malas bising-bising”.
Keadaan ini menggambarkan bagaimana kadang-kala keizinan diberikan tanpa keredhaan atau kerelaan. Betapa ramai wanita zaman tahu yang mengizinkan bapa mereka mengahwinkan mereka, sedangkan jantung hati mereka tidak redha.
 
Di samping ada keadaan di mana kita izinkan sesuatu dengan penuh redha. Juga ada keadaan di mana kita meredhai sesuatu tetapi tidak dapat mengizinkannya. Kita tidak izinkan mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu.
Sebab itu dalam al-Quran Allah gunakan perkataan masyiah atau kehendak dan dalam masa yang sama ada perkataan redha. Manusia menjadi beriman dan kufur adalah dengan kehendak atau izin Allah. Jika Allah tidak izin atau kehendak, maka tiada satu perkara pun yang boleh berlaku di alam ini.
Namun bukan semestinya apa yang Allah izinkan berlaku itu, Allah meredhainya. Firman Allah: (maksudnya)
“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang dihiaskan kepadanya amalan buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya baik, kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah kamu membinasakan dirimu (Wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan” ( Surah al-Fatir, ayat 8).
Allah menyesat sesiapa yang Dia Kehendaki kerana mereka memilih kesesatan, demikian memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang ingin memilih petunjuk. Itulah peraturan alam yang Dia Maha Pencipta lagi Maha Adil tetapkan. Dia tidak menzalimi hamba-hambaNya.
Apabila kekufuran atau kemaksiatan atau kesesatan itu berlaku bukanlah Dia redha atau sukakan kekufuran sekalipun berlaku dengan izin atau kehendakNya. FirmanNya: (maksudnya) “Kalaulah kamu kufur akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak memerlukan kamu; dan Dia tidak redha untuk hamba-hambaNya kekufuran; dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya untuk kamu..(Surah al-Umar, ayat 7).
Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan makhluk. Namun untuk mendekatkan faham, demikian insan dalam hidup ini mestilah dibezakan antara keizinan dan keredhaan. Dalam perjanjian Hudaibiyyah Nabi s.a.w dan Musyrikin Quraish Mekah, baginda ingin agar kepala perjanjian itu ditulis dengan Bismillah al-Rahman al-Rahim.
Namun wakil Quraish, Suhail bin ‘Amr tidak bersetuju. Dia mahu supaya ditulis seperti kebiasaan Quraish dalam menulis perjanjian iaitu BismikaAllahumma (Dengan NamaMu Ya Allah). Nabi s.a.w bersetuju dan mengizinkannya, walaupun hakikatnya baginda tidak redha demikian. Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:
“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.
Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut.
Saya jelaskan noktah perbezaan ini untuk mengelakkan tuduh-menuduh sesama umat Islam dalam banyak perkara. Isu nama Allah umpamanya, menjadi tegang dalam kalangan umat Islam sendiri sehingga ada yang tuduh menuduh dengan kufur dan sesat. Ada yang menyatakan pihak yang membiarkan penggunaan nama Allah dalam kalangan bukan Islam bererti telah redha dengan kekufuran. Maka sesiapa yang redha dengan kufur, maka dia pun turut kufur.
Kesimpulan yang seperti itu tidaklah tepat. Kita mungkin berbeza antara satu sama lain, namun jangan membuat kesimpulan yang tidak berlandaskan fakta. Umat Islam yang membiarkan Kristian menggunakan nama Nabi Isa dan Maryam di tempat ibadah mereka bukan bererti selama ini kita meredhai mereka mensyirikkan Allah dan mempergunakan nama Nabi Isa a.s. yang wajib kita imani itu.
Ini bukan soal redha atau tidak, tetapi soalnya apakah kadar hak mereka yang hendak atau boleh kita izinkan. Di situ perbincangannya. Kita mungkin boleh setuju atau tidak setuju mereka guna nama Allah. Saya tidak mahu membincang isu tersebut di sini. Namun saya tidak dapat terima untuk kita cepat mengkafirkan sesama sendiri. Kita tangani perbezaan itu dengan harmoni dan matang, bukan dengan kafir-mengkafir sesama muslim.
Hati-hati wahai pembaca, ramai orang di dunia ini yang sering memutar belitkan ayat dan kalimat orang lain, lalu menyalahtafsirkan mengikut kehendaknya supaya dia dapat menghukum orang yang dimusuhinya. Setiap kita akan berdiri di hadapan Mahkamah Allah di Hari Kiamat, maka bersikap adillah!

credit to @drmaza.com

iman itu tidak boleh dipaksa :)


Kita mungkin boleh memaksa manusia makan, atau bercakap, atau bergerak, atau diam atau apa sahaja tindakan fizikal. Namun kita tidak mungkin boleh memaksa keyakinan dan kepercayaan seseorang. Ini seperti memaksa seorang mempercayai apa yang dia tidak percaya, atau meragui apa yang dia yakin, atau mengkufuri apa yang dia imani, atau mengimani apa yang dia tidak dapat terima kebenarannya.

Demikian juga kita tidak boleh memaksa perasaan seseorang seperti cinta, benci, suka, marah, sayang dan seumpamanya. Jika kita terus paksa dengan kekuasaan dan kekerasan untuk mengungkap dengan lidah apa yang tidak terkandung dalam jantung hatinya atau perasaannya, dia mungkin menyatakannya dengan lidah tetapi iktikad dan perasaan akan tetap menolak.

Tiada siapa pun dalam kalangan makhluk mampu memaksa akidah orang lain. Apa yang manusia mampu hanyalah paksaan fizikal, sedangkan iman atau kufur seseorang tidak dapat diubah jika tidak dengan kehendak dan kerelaan empunya diri.

credti to @drmaza.com 

Bingkisan Perjalanan Buat Yang Demam ‘Kuasa’


Sekarang ini demam Pilihanraya ke-13. Ia dijangka pilihanraya yang benar-benar akan men’demam’kan samada BN ataupun PR. Maka sekarang parti-parti politik dalam negara kita sedang sibuk dan menyibukkan diri untuk menghadapi demam tersebut. Ucapan dan slogan politik kedengaran di sana-sini. Kuasa, kuasa, dan kuasa. Itulah mimpi sebahagian manusia politik. Saya tidak ingin mengulas pada minggu ini. Saya hanya ingin memetik pelbagai ucapan beberapa tokoh umat Islam berkaitan dengan perjuangan dan kepimpinan. Harapnya ia boleh menjadi bekalan dan renungan untuk semua pihak yang terbabit. Ia boleh menjadi koleksi dan koreksi untuk mereka yang merasa diri berada di medan perjuangan dan siasah.
Gambar Hiasan
Akur Kesilapan
Nabi Musa a.s berjuang menghadapi Firaun. Namun Nabi Musa a.s pernah membuat kesilapan sebelum menjadi rasul iaitu telah memukul seorang warga Mesir keturunan qibti sehingga mati. Semasa dialog antara Musa dan Firaun, Firaun mempertikaikan tindakan Musa a.s. tersebut. Nabi Musa a.s mengakui kesilapan tersebut, namun meneruskan perjuangan yang benar. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya)
“Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”. Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?”
Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Surah al-Syu‘ara: 16-22).
Inilah sikap perjuang yang ikhlas dan benar!
Pohon Maaf dan Betulkan Kesilapan
Apabila fitnah berlaku di zaman pemerintahan Saidina ‘Uthman bin ‘Affan, beliau menulis surat kepada rakyat memohon kemaafan dan membuka ruang agar dibetulkan kesalahan pentadbiran. Beliau menyebut dalam suratnya:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu akan haknya. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca dan ada pula yang dipukul. Sesiapa yang dicerca ataupun dipukul secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”.
Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah umat.
Maksud ‘Rakyat Didahulukan’
Jika kita ingin mendengar contoh rakyat didahulukan, maka bacalah Sirah ‘Umar bin al-Khattab ini: Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:
“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya:
“Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).
Awasi Pengampu
Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid:
“Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”.
Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”. Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”.
Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya. Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Gambar Hiasan
Menyedari Bebanan Amanah
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya:
“Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144).
Dalam Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi yang meriwayatkan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya:
“Lihatlah ke arah Kaabah.” Harun al-Rasyid menjawab: “Aku sedang lihat.” Kata beliau lagi: “Berapa jumlah mereka yang kau lihat?” Jawab Harun: “Siapa yang mampu membilangnya.” Kata beliau pula: “Berapa jumlah manusia yang seperti mereka?” Jawab Harun: “Hanya Allah yang mampu menghitungnya.” Kata al-‘Umari lagi: “Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti.”
Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.
Menyedari Kemampuan Diri
Saidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya:
“Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-sia tugas dan tanpa ditimpa fitnah”. Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh. Demikian Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a, walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu. Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103, Lebanon: Muassasah Fuad).
Banyak lagi ungkapan yang baik tentang kuasa dan jawatan untuk direnungi oleh mereka yang merinduinya. Saya petik sedikit daripadanya sebagai bingkisan buat yang lantang berbicara tentang keinginan kepada kuasa.

credit to @drmaza.com

memang betul masa itu emas :)


Ciptaan Allah yang paling ajaib ialah masa .
Allah telah mencipta masa dan memasukkan kita ke dalam sistem masa .
Kita terikat dengan sistem masa .
Allah Yang Maha Besar tidak terikat dengan sistem masa .
Oleh itu , perkara yang sebelum,selepas,semalam,esok,lusa,kelmarin,minggu depan,minggu lepas dll... ini semua hanya makhluk Allah yang melaluinya .
Tidak layak digunakan bagi Allah .
Allah yang awal dan Dia lah yang akhir.
ada orang masanya diberkati , ada orang pula masanya tidak diberkati .
sesetengah orang rasa 1 hari macam 2 hari lamanya .
namun sesetengah orang pula , bila duduk depan TV , 3,4,5 jam pun rasa sekejap .
maknanya apa ? :)

sekadar perkongsian , hargailah masa :)

credit to @Drmaza.com

Wednesday, 5 December 2012

semuanya yang pertama di sana ( i )

Tertawa , riang , suka , gembira.. Semuanya indah belaka . Manakah manusia yang tidak suka akan kebahagiaan ? Namun jika dek terlalu lena sehingga ditenggelamkan kebagagiaan bahaya juga kesannya . Teringat pula akan kisah silam di zaman matrikulasi . Ingin saja aku meluahkan segala rasa , segala cerita , segala kenangan yang tercipta , kepada kalian . Namun itu semua tidak perlu . Ia akan menjadi cebisan kenangan dalam masa belakang ku . Ternyata kenangan yang lalu itu bukanlah untuk dikenang namun dijadikan sebagai pelajaran . Sebaik sahaja menerima tawaran kemasukan ke KMP . Aku gembira . Aku tahu seandainya saja Allah tidak memilihku ke KMP , kemana harus aku pergi dengan keputusan SPM yang tidak cemerlang ? Alhamdulillah . Setibanya di sana , aku merasakan sesuatu yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini . Aku tidak pernah menetap di asrama . Aku harus menyesuaikan diri . Ternyata aku berjaya . Namun aku juga selalu merindui keluargaku di rumah . Seminggu sekali pasti aku menelefon ibuku yang tercinta . hurrmm.. tidak dapat bayangkan sekiranya tiada keluarga .. Banyak yang aku belajar di sana . Aku telah menemui hikmah aku dicampakkan ke utara walaupun rumahku betul-betul di selatan . Ternyata Allah itu mahu aku belajar sesuatu yang bernilai ......

perasaan apa ini ? aku tidak mengerti .

Rasa ini harus ku serahkan kepada Yang Maha Esa . Aku tidak boleh terjatuh lagi . Hanya aku dan Allah yang tahu maksudku ini . Kini aku sedang merentasi ujian di mana jika aku melawan , In Sha Allah kebahagiaan akan kutemui . Namun sebaliknya , sekiranya aku menuruti , akan binasalah aku , menyesal dan tersungkurlah aku di sana . Aku bukanlah diantara sebahagian orang yang banyak kelebihannya kerna aku redha akan kurniaan Allah padaku . Namun terkadang juga kita selalu memikirkan kelebihan orang lain sehingga kita juga ingin sepertinya . Sayangnya jarang sekali untuk kita mensyukuri ni'mat Allah yang ada pada kita . Sahabat , ku nukilkan semua ini bukan seperti yang kalian fikirkan . Hanya Allah dan aku yang tahu apa niatku . Ingin juga aku menasihati kamu dan diriku supaya kebaikan kita tidak perlulah kita TERTERA KAN di khalayak ramai . Memang hakikatnya kamu tidak berniat untuk riak , namun masyarakat akan memendang tinggi pada kamu , apa gunanya ? sekiranya yang ada pada diri kita hanyalah kosong . Ayuh sama-sama kita insaf diri , sukakah kalian pada pujian ? Sedangkan hakikatnya kamu mengetahui apa yang terkandung dalam diri kamu sendiri . Lebih elok sekiranya aku dan kamu sahabat-sahabatku di luar sana, menjadi lebih baik daripada apa yang mereka sangka tentang kita . Terutama ketika sendirian . Sama-sama kita nilai diri ,