terima kasih , anda yang ke ..

Monday, 19 November 2012

Jana Kewangan Dengan Perniagaan


Hari ini, negara kita Malaysia memacu proses revolusi perindustrian ketiga. Kerana itu, sektor pengilangan dan perkhidmatan perlu peka untuk meningkatkan nilai masing-masing bagi merealisasikan matlamat tersebut. Kata Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua dalam salah satu akhbar tempatan bertarikh 22 Mei 2012 lalu berkenaan "Usaha lahir ramai usahawan berdaya saing tanpa bantuan".
Susulan daripada revolusi tersebut, ianya berhajat kepada para usahawan yang berperanan untuk mengembangkan keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan di samping meningkatkan capaian kepada persaingan yang lebih tinggi.

Wanita dan Wangian : Apa Hukumnya?


Haruman daripada minyak wangi yang dipakai seorang wanita yang melintas di hadapan tadi masih kuat berbau walaupun wanita itu sudah hilang daripada pandangan.
Dalam hati memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan tertanya-tanya jenama apakah minyak wangi yang dipakai oleh wanita itu.
Hmm, jika saya, yang juga seorang wanita pun terpikat dan sukakan bau yang datang daripada wanita itu, kaum Adam juga pasti menyukainya dan mereka pasti akan tertoleh-toleh untuk melihat gerangan wanita yang berbau sangat harum itu.
Jika hal demikian terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana telah menarik minat (atau mungkin nafsu) kaum Adam terhadapnya.
Memang menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan wangi. Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A'raaf, ayat yang ke-31:
"Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas."
Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud :
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu'alam.
Harus
Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud,
"Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu..." (Riwayat an-Nasa'is dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya.
Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,
"Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya" (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,
"Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan "makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa". Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.
Haram
"Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina" (Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur "Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi......" (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian...(penzina)" (Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.

Saturday, 10 November 2012

Kejadian Aneh Berlaku Di Padang Golf Ketika Azan


Pelbagai pengalaman misteri uji keimanan insan sering terlalai ketika seruan azan berkumandang. Cerita di bawah adalah cerita yang agak lama juga. Tapi jika dibaca artikel yang menarik juga yang difwdkan kepada saya ni berkenaan perkara-perkara pelik di padang golf kerana tidak menghormati azan.
Sebenarnya apa yang lebih penting? Solatkah atau azan itu sendiri. Apa gunanya berhenti sebentar untuk memberi laluan kepada azan tetapi selepas itu permainan diteruskan tetapi tidak juga mengerjakan solat.
PERMAINAN golf bagi mereka yang ketagih dengan sukan boleh menenangkan jiwa itu, kadang-kala berdepan dengan pelbagai kejadian pelik tetapi benar-benar berlaku di padang golf di negara ini.
Pernah satu hari, seorang teman bersama tiga rakannya bermain golf hingga berlarutan pada waktu malam dan ketika menghampiri dua lubang terakhir, mereka terpaksa berhenti agak lama kerana ada orang lain sedang putting di atas green, kira-kira 100 meter di hadapan mereka.
Dalam permainan golf, pemain boleh membuat aduan kepada marsyal jika permainan pemain di hadapan terlalu lambat. Selepas menunggu begitu lama, empat pemain yang kelihatan seperti warga Korea itu, masih melakukan putting berkali-kali sehingga tempohnya tidak boleh diterima akal. Berikutan itu, lelaki yang bergelar Datuk tadi menghubungi rumah kelab dan mengadu kepada marsyal untuk menegur empat ‘warga Korea’ itu supaya bermain dengan laju.
Marsyal itu menjawab: “Datuk…. flight (sepasukan empat orang) Datuk adalah flight terakhir, tak ada orang lain dah kat fairway (padang) waktu ini.” Mendengar jawapan itu, mereka terus bergegas masuk ke dalam buggy dan segera pulang ke kelab, dengan tidak lagi meneruskan permainan.

Kejadian Aneh Berlaku Di Padang Golf Ketika Azan
Rupa-rupanya empat ‘warga Korea’ itu bukan manusia. Di kelab itu kemudian heboh mengenai kejadian aneh itu. Kapten kelab datang dan bertanya secara lembut, sama ada mereka berhenti menghayun kayu golf apabila terdengar azan Maghrib berkumandang dari masjid di pinggir kelab golf eksklusif itu.Semuanya tergamam dan saling memandang antara satu sama lain. Bayangkan, jika waktu di padang golf itu, mereka menghampiri ‘pemain Korea’ di atas green, entah apa akan terjadi.
Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Syeikh Zamihan Al-Ghari ketika diminta mengulas berkata, kemungkinan yang dilihat itu adalah malaikat atau jin Islam kerana syaitan akan lari sejauh mungkin hingga ke hujung dunia sehingga dia tidak lagi mendengar bunyi azan.
“Seruan Allah mengajak kepada kebaikan dan begitu juga dengan seruan azan yang mengingatkan kepada tanggungjawab menunaikan solat. Oleh itu kejadian pelik yang berlaku kepada kepada pemain golf ini boleh dilihat sebagai bonus daripada Allah untuk menyedarkan mereka supaya berhenti sebentar untuk mendengar azan dan solat sebelum menyambung permainan.
“Bagi manusia biasa, hatta yang banyak melakukan dosa juga tidak mustahil menemui kejadian pelik ini untuk diberi kesedaran dan ini menunjukkan kekuasaan serta kasih sayang Allah,” katanya.
Malah, apa saja kegiatan termasuk ketika seseorang sedang berucap di khalayak ramai perlu berhenti seketika sewaktu azan berkumandang. Namun, banyak lagi cerita pelik berlaku, kebanyakannya menjurus kepada sikap pemain golf yang tidak berhenti seketika apabila terdengar azan sama ada apabila masuk waktu Zuhur, Asar, Maghrib atau Isyak, bagi yang bermain golf pada waktu malam. Sesetengah padang golf di sekitar Lembah Klang, memang ada menyediakan tempat solat di tepi padang golf.
Di padang golf yang lain pula, tidak berapa lama dulu, seorang rakan bersama kawannya ‘sesat’ apabila tidak terjumpa tempat tee-off (pukulan pertama untuk setiap lubang) seterusnya selepas selesai bermain di lubang ke-12.
“Seminggu sebelum itu, saya juga bermain di tempat sama, tiada masalah dan memang mustahil untuk tidak menemui tempat tee-off seterusnya. Tetapi kali ini, saya mendapati laluan untuk ke lubang ke-13 itu bagaikan tertutup…. saya pergi ke kiri, nampak semak… ke kanan pun semak dan ke depan lagi semak. ”
Jalan keluar ialah berpatah balik dan waktu itu jam sudah melewati 1.30 petang,” katanya yang nyata juga tidak berhenti bermain ketika azan Zuhur. Sehingga kini, beliau masih tertanya-tanya insiden itu.
Baru minggu lalu, kejadian aneh turut berlaku di sebuah padang golf lain di kawasan Subang Jaya apabila seorang rakan yang melakukan pukulan kedua melungsurkan bola jauh tetapi menuju ke arah pokok sawit, hingga seakan menyeberang ke fairway di sebelah, memungkinkan bola itu jadi ‘OB’ (out-bound).
Apabila buggy yang dinaikinya bersama rakan yang juga seorang Datuk berhenti di atas track berdekatan pokok sawit, bola tidak kelihatan, hilang. Tetapi kira-kira lima minit kemudian, tiba-tiba bola golf melantun balik ke arah fairway, bagaikan dilambung atau dicampak oleh seseorang.
“Saya tengok di celah-celah pokok, kemungkinan ada pekerja yang mencampak bola tetapi tiada seorang manusia pun di situ,” katanya yang terselamat daripada dikenakan penalti dua strok kerana bola hilang.
Penulis sendiri yang menaiki satu lagi buggy di belakang mereka turut hairan tetapi saya tidak nampak bola itu apabila ia ‘tercampak’ semula ke arah fairway.
Banyak lagi kisah pelik seperti bola beralih tempat atau tiba-tiba 18 biji bola berada di atas green yang sepatutnya cuma empat biji selepas empat pemain mahu melakukan putting, memberi pengajaran berguna.
Di sini, kita perhatikan satu alkisah. Diriwayatkan bahawa Siti Zubaidah adalah seorang wanita bangsawan yang kaya, hobinya suka mendengar muzik. Dia memiliki pentasnya sendiri serta beberapa penyanyi yang menjadi penghiburnya. Apa yang menjadi kelebihannya ialah apabila terdengar saja seruan azan, dia akan segera memerintahkan penyanyi dan pemuziknya berhenti untuk seketika bagi menghormati azan.
Selepas selesai dan menjawab azan, barulah disambung semula, hanya itulah amalan yang sentiasa dijaganya. Selepas dia meninggal, ramai di kalangan orang salih bermimpi bertemu dengannya; tanya mereka, “Ibadat apakah yang menyebabkan Allah mengampunkan dosamu, adakah kerana kamu menggali sebuah kolam air antara Makkah dan Madinah?
Jawab Zubaidah, “Allah mengampunkan dosaku dengan banyak mengucapkan syukur. Sebenarnya aku tidak banyak beribadah kecuali satu, ketika hayatku dulu iaitu apabila terdengar saja azan sedangkan waktu itu aku sedang berhibur dan mendengar nyanyian, maka dengan serta- merta aku menyuruh mereka memberhentikannya bagi menghormati seruan azan.
“Itulah ibadat yang aku benar-benar menjaganya. Sebagai balasan, Allah berfirman, “Kamu dilarang menyeksanya, jika tidak kerana iman yang ada di dadanya masakan ia mahu menyebutKu dalam keadaan leka.”
Penulis menerima banyak e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon daripada pembaca termasuk rakan serta mereka yang tidak dikenali mengenai tulisan saya di kolum ini minggu lalu bertajuk ‘Kisah misteri alam roh beri pengajaran berguna.’
Ramai juga pembaca memberi maklum balas menyatakan mereka atau ahli keluarga mahupun kawan pernah mengalami kejadian misteri yang serupa apabila koma.
Antara maklum balas paling menarik ialah cerita berikut: “Seorang kawan saya bukan saja mat rempit, malah kaki judi, minum arak dan suka berfoya. Suatu malam, dia terbabit dalam kemalangan hingga patah tulang rusuk dan kaki kanan serta keretakan tukang belakang. Beberapa hari dia koma di hospital. Pendekkan cerita, apabila sudah keluar hospital kemudian, maka dia bercerita mengenai kejadian misteri. ”
Dia mendakwa melihat alam neraka, ditunjukkan kepada dia, menyebabkannya rasa takut yang amat sangat apabila disebut perkataan neraka. Sejak itu, dia sudah bertukar menjadi seorang manusia yang sempurna, tidak pernah tinggal sembahyang dan meninggalkan semua kegiatan tidak berfaedah sebelum ini,” katanya.

Friday, 9 November 2012

Akibat Tidak Berdiam Diri Ketika Mendengar Azan



Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.. Lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan ‘sakaratul maut’.
Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: “Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya.”
Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri.
Mengapa ketika azan kita harus mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah “Lailahaillallah..” yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dengan izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.
Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut. “Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah “Lailahaillallah..” semasa sakaratul maut menghampiri kami. Amin.. amin.. amin Yarobbal a’lamin..”
Wallahu a’lam.